Bahasa Melayu Tingkatan 1 KOMSAS... Powered by Blogger.
RSS

Cerpen Kasut Kelopak Jantung

1. TEMA

Cerpen ini bertemakan kemiskinan hidup pelajar di kawasan pedalaman dalam menempuh alam persekolahan dan cabaran guru dalam mendidik anak murid daripada pelbagai latar belakang. Ahmad dilambangkan sebagai murid di kawasan pedalaman yang miskin dan serba kekurangan. Cikgu Harun pula sebagai guru muda yang bertugas di kawasan pedalaman yang serba payah dan mencabar.....

2. PERSOALAN

a) Cabaran guru yang mengajar di kawasan pedalaman.
b) Kedaifan golongan marhaen di luar bandar.
c) Ingatan dan penghargaan terhadap guru.
d) Kesempitan hidup bukanlah halangan untuk menuntut ilmu.
e) Ketegasan guru yang dalam mendidik anak bangsa.
f) Kecekalan dalam menuntut ilmu meskipun berkeadaan serba kekurangan.

3. WATAK

a) Watak utama dalam cerpen ini ialah Cikgu Harun.
b) Watak sampingan yang dominan ialah Ahmad.

4. PERWATAKAN

    Cikgu Harun 
  • Beliau guru muda yang mengajar di kawasan pedalaman.
  • Beliau tegas dan garang
  • Cikgu Harun berwajah bengis.
  • Beliau berjiwa sensitif.
  • Cikgu Harun sabar mendidik anak-anak muridnya.
   
     Ahmad
  • Dia murid tahun tiga.
  • Dia lahir dalam keluarga yang miskin.
  • Ahmad patuh akan arahan guru.
  • Dia lurus bendul.
  • Dia berdikari.
  • Dia tabah dan gigih menuntut ilmu.
     
    Ibu Ahmad
  • Beliau sudah uzur.
  • Wajah beliau seiras dengan wajah Ahmad.

5.  PLOT

BINAAN PLOT 

Plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi kerana adanya peristiwa yang disampaikan dengan menggunakan teknik imbas kembali.

Peristiwa lebih tiga dekad yang lalu, iaitu pengalaman mengajar di kawasan pedalaman. Kenangan tentang  Ahmad yang memakai kasut kelopak jantung disampaikan oleh pengarang dengan mengimbas kembali  peristiwa tersebut.

PERMULAAN
                
Cikgu Harun tertanya-tanya tentang bungkusan hadiah yang diterimanya. Hadiah itu tidak bersetem sebagai tanda dihantar melalui pos. Namun beliau sudah mengagak siapa pengirimnya kerana itu bukanlah pertama kali beliau menerima bungkusan tersebut. Yang membuatkannya sangsi ialah niat si pengirim, sama ada ikhlas atau mahu menyindirnya.


PERKEMBANGAN :

Cikgu Harun terkenang akan peristiwa lebih tiga dekad yang lalu., tatkala beliau mengajar di sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman. Ahmad, murid tahun tiga telah menimbulkan kemarahannya setiap kali masuk ke kelas. Puncanya, Ahmad tidak memakai kasut sekolah dan hanya berkaki ayam sejak tiga minggu lalu, iaitu selepas selipar jepunnya putus. Apabila ditanya, Ahmad akan memberikan jawapan yang serupa, iaitu dia belum membeli kasut sekolah. 


KLIMAKS : 

Kemarahan Cikgu Harun kian memuncak. Dia mahu merotan Ahmad tetapi tiba-tiba dia terpandang akan pokok pisang yang rimbun. Di bawah pokok itu ada banyak kelopak jantung pisang yang besar. Cikgu Harun mengarahkan Ahmad memakai kelopak jantung itu sebagai kasut dengan mengikatkannya pada kaki menggunakan tali rafia. Ahmad perlu memakai kasut kelopak itu hingga dia mempunyai kasut sekolah. Ahmad berasa sangat malu dengan hukuman itu hingga menyebabkan dia mahu berhenti sekolah.



PELERAIAN :

Selepas seminggu, Cikgu Harun mencari Ahmad di rumahnya. Apabila melihat keadaan rumah Ahmad yang daif dan ibu Ahmad yang uzur, hati Cikgu Harun disentap pilu. Ahmad baru pulang daripada kebun, tempat dia mengambil upah memetik cili. Cikgu Harun berasa sebak melihat kasut kelopak jantung yang masih dipakai Ahmad. Ahmad menyatakan bahawa dia belum cukup duit untuk membeli kasut sekolah. Akhirnya, Cikgu Harun terus ke pekan untuk membelikan Ahmad baju dan kasut sekolah yang baru. Selepas tiga dekad, Cikgu Harun sudah bersara dan Ahmad sudah bergelar pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka.


TEKNIK PLOT
  • TEKNIK IMBAS KEMBALI
Cikgu Harun pun terkesima, membiarkan diri hanyut dalam arus ingatan ke zaman awal menjadi pendidik di sebuah kampung pedalaman.

  • TEKNIK IMBAS MUKA
Kini, seorang murid hendak berhenti sekolah. Jika itu terjadi, negara akan kehilangan seorang warga yang berpendidikan.

  • TEKNIK MONOLOG
"Jauh juga rumah Ahmad," bisik hati kecil Cikgu Harun.

  • TEKNIK DIALOG
"Saya Cikgu Harun," Riak wajah wanita itu berubah mendengar jawapan itu.
"Jemputlah naik," pelawa wanita itu.


6. LATAR
  • Latar Masa
a) Pada masa sekarang -  Setelah Cikgu Harun bersara daripada guru dan Ahmad berjaya menjadi seorang pengurus besar di syarikat pengeluaran kasut.
b) Tiga dekad yang lalu -  Ketika Cikgu Harun masih baru mengajar di sebuah sekolah kawasan pedalaman

  • Latar Tempat
a) Rumah Cikgu Harun  -  beliau menerima bungkusan hadiah pada Hari Guru.
b) Kelas Tahun Tiga      -  Ahmad dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut sekolah.
c) Padang Sekolah        -  Ahmad didenda oleh Cikgu Harun iaitu memakai Kasut Kelopak Jantung.
d) Di Pekan                  -  Cikgu Harun membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut.

  • Latar Masyarakat
a) Masyarakat guru dari bandar yang mengajar di kawasan pedalaman.
contoh - Cikgu Harun melalui cabaran mengajar di kawasan yang jauh daripada pembangunan.
b) Masyarakat pedalaman yang miskin.
contoh - Ahmad lahir daripada sebuah keluarga yang daif dan serba kekurangan.

c) Masyarakat yang cekal.
contoh - Ahmad tidak pernah ponteng sekolah meskipun rumahnya jauh dari sekolah.

d) Masyarakat yang berjaya.
contoh - Ahmad tidak pernah menjadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk berjaya. kini mempunyai kerjaya mantap.

e) Masyarakat yang mengenang budi.
contoh - Ahmad tidak pernah lupa memberikan kasut yang mahal-mahal saban tahun kepada Cikgu Harun, khususnya pada Hari Guru.


7. GAYA BAHASA

a) Simile 
contoh : Tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung; berjalan macam lembu sakit kaki; kakinya  macam kaki gajah yang untut dan tidak cantik; bagai ada sesuatu yang tersengkang pada batang tenggoroknya.

b) Metafora 
contoh : membatukan diri; hatinya yang terhiris
c) Repetasi  
contoh : Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, dan kaki tiang rumahnya yang usang.

d) Kata-kata puitis 
contoh : membiarkan dirinya hanyut dalam arus ingatan; kesabaran masih tersisa dalam  jiwanya; kata yang terlontar melewati bibir kering Ahmad.
e) Peribahasa
contoh :  Anak-anak kampung itu sememangnya lebih selesa berkaki ayam waktu itu; Kadang-kadang dilihatnya Ahmad seperti lurus bendul; Dia mula terasa Ahmad itu berkecil hati.


8. NILAI

a) Kerajinan
  • Ahmad berusaha bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mewarisi kemiskinan keluarga.
b) Berdikari 
  •  Ahmad bekerja memetik cili di kebun sayur kerana hendak membantu keluarga yang miskin.
c) Baik Hati
  •  Cikgu Harun membeli sepasang baju seragan dan kasut sekolah untuk Ahmad supaya dia dapat belajar dengan selesa.
d) Semangat bermasyarakat
  •  Cikgu Harun membantu Ahmad kerana mahu Ahmad berjaya dalam pelajaran dan keluar daripada belenggu kemiskinan.
e) Pemaaf
  •  Ahmad menerima pemberian Cikgu Harun dan dia ke sekolah kerana tidak menyimpan perasaan             dendam.
f) Mengenang Budi 
  • Ahmad mengirimkan sepasang kasut kepada Cikgu Harun kerana hendak membalas budi baik Cikgu Harun terhadapnya tiga puluh tahun yang lalu.

9. PENGAJARAN

a) Kita hendaklah berusaha dengan gigih supaya dapat mencapai kejayaan dalam hidup.
b) Kita hendaklah bersikap dermawan supaya dapat meringankan kesusahan orang lain.
c) Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain supaya hidup kita gembira.
d)Kita hendaklah membalas budi baik yang telah kita terima supaya hubungan silaturrahim berpanjangan.
e)Guru-guru hendaklah berusaha mendidik murid-murid kerana mereka merupakan negara yang berharga.







  


    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS